🌹WHY DO I CHOOSE TO WEAR NIQAB🌹
Bismillahirahmanirrahim..
Rasa macam nak 'share' pula kenapa saya memilih untuk memakai niqab sebab belum pernah lagi kongsi kepada sesiapa tentang ini. Kisahnya biasa-biasa saja tidaklah menarik seperti kisah-kisah niqabis lain yang mempunyai seribu satu kisah dituruti variasi cerita yang menginspirasikan mereka yang lain. Tapi itulah satu-satunya kisah bagi saya dalam usaha menjadi wanita yang agak asing dalam norma masyarakat.
Saya sekali pun tidak pernah terfikir akan menjadi sebahagian golongan niqabis. Fikir saya, seorang yang berniqab bukanlah hanya niqabkan mukanya sahaja malahan lebih daripada itu yakni niqabkan(tutup/jaga) jua hatinya. Sedangkan kebersihan hati saya masih belum mampu untuk terjaga sepenuhnya. Jauh lagi untuk dikategorikan sebagai wanita muslimah, mukminah apatah lagi muttaqin. Saya sedar diri saya siapa. Tidak layak rasanya untuk mengenakan secebis kain itu di muka hatta aurat yang asas pun sukar bagi saya untuk menjaganya. Kadang-kadang, tak pakai stokin, tak pakai handsock dan 'scarf' di kepala pun boleh lupa pakai. Bermacam alasan yang saya bagi. Allahu Rabbi. Itulah saya 3 tahun yang lepas. Siapa kata jadi wanita muslimah itu mudah? Kerana syurga Allah itu mahal nilaiannya. Maka, memadailah dengan jerih payah kita.
Dahulu, saya seorang pemakai tudung 'universal'. I mean, semua jenis bidang tudung saya boleh pakai sama ada 45/50/55/60. Saya bukanlah 'alim'. Saya akan memakai mana-mana bidang tudung mengikut cita rasa saya, mengikut suka pada satu-satu hari. Kalau rasa nak pakai tudung pendek, ambil bidang 45 dan kalau-kalau nak pakai yang labuh, pakai bidang 100. *haha tak tak mana ada bidang tu 😂. Prinsip saya, asalkan tudung tu boleh menutupi bahagian dada, saya akan pakai hatta ia tudung bidang 45 pun. Saya akan cuba 'cover' sehabis boleh bagi labuh dibahagian depan. Ingat hawa, try to cover that part, your chest. Malu sikit ye. Hmm, sebab..Allah masih jaga saya. Allah terbitkan rasa malu mendedahkan bahagian yang patut dijaga. Dan dengan sebab saya takut dengan pandangan mata-mata lelaki liar yang tidak menundukkan pandangan. Alhamdulillah, mungkin juga kerana kehidupan seharian saya dikelilingi oleh insan-insan yang juga berpakaian labuh dan longgar waima saya bukanlah begitu. Ibu saya sendiri memang seorang yang sangat menjaga auratnya. Kemana-mana, mesti memakai stokin dan penutup dagu hatta ke pasar sekalipun. Ya, saya sangat kagum dan terinspirasi dengan beliau. Ibu yang saya panggil 'ummi' itulah yang telah saya teladani sejak dulu, kini dan selamanya. Love you ummi💗
Saya biasa-biasa saja. Saya tidak istiqomah dalam memakai tudung bidang labuh. Ya, walauphn saya sememangnya memakai tudung menutupi dada tetapi kalau di terik panas bahangnya matahari, cepat saja tangan ini menarik tudung sampai ke bahu bahkan kadang-kadang turut menyinsing lengan hingga ke siku. Disebabkan panas, sedikit pun saya tidak menghiraukan kalau-kalau ada orang bukan mahram disekeliling yang memandang. Betapa diri ini jahil, lupa terus tutorial syariat yang Allah ajar dalam al-Quran yang bermaksud :
"Hendaklah mereka(perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka". (Surah An-Nur, ayat 31)
Sewaktu berusia belasan tahun dahulu, dalam lingkungan tahun 2011-2013 begitu (jap, rasa dah tua sangat pula sekarang), saya gemar membelek-belek page atau profil di laman 'fb' mereka yang mengenakan pakaian sunnah ini. Tidak tahulah mengapa padahal sedikit pun saya tidak berkeinginan untuk memakainya. Saya sekadar minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang niqab dan mengapa mereka berniqab. Walaupun saya sendiri tidak bersetuju jika wanita meng'upload' banyak gambar apatah lagi gambar 'selfie' di media sosial (lain orang maka lain fikrahnya), tapi ketahuilah gambar-gambar mereka telah menjadi inspirasi asbab penguat bagi saya memulakan langkah untuk berniqab kini. Setiap hari ada saja mana-mana insan berniqab saya tambah menjadi rakan fb. Hari semakin hari 'news feed' saya semakin dipenuhi dengan gambar wanita berpurdah. Sedikit sebanyak turut terinspirasi dengan kisah mereka yang hebat-hebat. Jauhnya dengan diri saya ni.
Terdetik di hati, 'macam mana agaknya perasaan apabila berniqab/berpurdah?'. Lantas dengan perasaan membuak-buak untuk turut merasai pengalaman menutup wajah, dengan pertama kalinya saya membeli online. Wah! 'excited' sungguh. Berbekalkan duit belanja sekolah yang dikumpul, saya membeli sehelai kain chiffon half-purdah bertali dengan harga RM10. Pada tahun 2013, purdah dibeli daripada Mutmainnah clothing. Itulah purdah kali pertama, tirai yang menutupi disebalik wajah sederhana ini. Akan tetapi, kain purdah tu sudahpun hilang entah mana kerana ditiup angin bayu malam dek kerana menyidainya dibelakang rumah pada malam hari.
Kerana ingin mendapatkan 'rasa' itu, pada mulanya saya cuba-cuba memakainya diluar apabila berjalan dengan keluarga. Memang terasa sangat janggal dan teramatlah kekok. 'Awkward!'. Orang sekeliling asyik memerhatikan dengan pandangan yang pelik malahan ada yang turut memandang dengan kening dan dahi yang berkerut. Apa yang pelik sangat saya kurang pasti. Mungkin inilah yang pernah Cikgu sejarah di sekolah saya dahulu katakan. Dia pernah memberitahu tentang hadith nabi dalam kelas yang berbunyi, "Islam itu datang secara asing dan akan kembali asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing".
Terkadang saya semput tercungap-cungap seakan berupa orang yang kehilangan nafas 😂. Yelah, 'first time' katanya. Seingat saya, hanya tiga atau empat kali sahaja saya memakai purdah tersebut dan saya fikir itulah kali pertama dan terakhir saya akan pakai dengan sebab puas sudah dapat tahu 'rasa' tu. Berkenaan perasaan memakainya, Wallahi saya cakap! saya tidak boleh nak gambarkan macam mana sehingga anda memakainya sendiri maka anda akan tahu. Hakikatnya saya boleh katakan, "tenang-setenangnya". Hadir dan timbul rasa yang tak mampu diertikan melalui apa-apa jua lisan dan pena bicara saya. Itupun kalau kita betul-betul hayati sambil koreksi diri dalam memakainya, dengan sepenuh rasa dan hati. So back to the topic, setelah itu , saya putuskan untuk simpan sahaja purdah tersebut dalam laci almari dengan harapan tidak memakainya lagi.
Hari demi hari berlalu, saya sudah mula memasuki di alam Universiti. Melalui hari-hari orientasi di universiti tersebut, saya mendapati ramai dikalangan mahasiswi yang berniqab dan berpurdah. Baru saya tahu, saya telah memasuki salah sebuah ipta yang membenarkan pelajarnya memakai purdah dan niqab. Saya betul-betul memuji ipta ni. Tetapi, melihatkan ramai yang menutup wajah di ipta tersebut tidaklah menjadikan saya turut berkeinginan menutup wajah sama.
Pejam celik pejam celik, sem 1 pun berakhir. Masing-masing pulang ke kampung halaman dan menikmati cuti awal sem. Waktu cuti inilah permulaan titik tolaknya penghijrahan pemakaian saya. Ketika inilah saya dilanda musibah, hati dan jiwa dalam keadaan sangat serabut, tidak tenteram dan tidak tenang. Terkadang, fikiran rasa tidak waras dan tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Pada waktu yang sama, banyak dosa dan noda di waktu silam datang silih berganti menghantui dan menerjah setiap sudut dan ruang pemikiran saya. Banyaknya dosa aku ya Allah, begitu menggunung. Bagaimanakah aku ini wahai Allah seandainya aku mati sekarang?
T-T Sungguh lemahnya dan hinanya diri ini dihadapan Rabb. Rasa diri ini begitu jahil kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa waktu ini. Solat Taubat jauh sekali. Hanya mampu menangis dan menangis sebagai mengungkap takbir jendela hati yang sekian lama membengkak. Setiap kali usai solat fardhu, saya jarang muhasabah atau doa dengan sebaik-baiknya. Tapi kali ini, terbit rasa hati yang begitu mendalam ingin berasa lebih dekat dengan Tuhan. Betapa hati ini tidak mahu jauh lagi dari Allah. Cukuplah selama ini saya dah jauh dengan Dia. Tak kuat lagi untuk berjauhan kerana baru tersedar dari lena yang panjang bahawa diri ini sebenarnya lemah tanpa Dia disisi. Bagaikan tidak mampu ditahan oleh kedua belah kelopak mata lagi, dengan begitu mudahnya mutiara jernih menghujani dan membasahi pipi. Saya mengadu segala-galanya pada Allah, saya ceritakan segala-galanya pada Dia serta meminta taufikNya untuk memandu saya ke jalan yang diredhai. Doa diselangi tangisan mencurah-curah yang cuba ditahan sendunya kerana bimbang didengari kaum keluarga saya.
Mata saya kemudian terus tertancap pada satu kitab suci agung itu, al-Quran yang terletak elok di meja solek. Terus digapai, lantas helaian demi helaian saya membeleknya dan secara 'randomly' saya berhenti pada satu muka surat. Saya membacanya dari sudut hati yang begitu mendalam seolah-olah memaknakan kalam suci yang dibacakan. Terasa seperti Dia bercakap dengan saya. Tenang! Benarlah dengan mengingatiNya sahaja hati menjadi tenang. Sejurus selepas itu saya membaca tafsirannya. Allah! Kali ini tangisan saya boleh membanjir. Mata semakin membengkak. Ajaib sekali, Allah seakan-akan jawab segala permasalahan yang membelenggu benak pemikiran saya melalui kalamNya. Semua persoalan hati saya terjawab dengan ayat yang tersusun indah di laman surat cinta-Nya yang saya baca secara rawak sebentar tadi. Allah sedikit pun tidak meninggalkan hamba-Nya malah sangat dekat dengan hambaNya, lebih dekat daripada urat nadi di tengkuk kita. Subhanallah! Rahmat Allah sungguh besar dan tidak terjangka.
Saya tertanya-tanya dan berbisik-bisik pada segenap ruangan hati "Wahai Allah, bagi jalan padaku untuk sentiasa dekat denganMu, tolong aku untuk sentiasa denganMu di setiap penjuru waktu, bantu aku ya Allah supaya tidak berterusan melakukan perkara yang Engkau murkai. Aku malu ya Allah, aku malu denganMu. Sedang aku lalai, rahmatMu tidak jemu hinggapi diri yang hina ini dan memayungi diri ini."
Entah mengapa selepas itu, saya terus membuka laci almari dan mengambil purdah yang tersimpan rapi dalam ruangan tersebut. Secebis kain berwarna hitam itu saya genggam erat dan diamati. Pada fikiran saya, mungkin ini jalannya. Ya inilah permulaannya. Syaitan yang tidak mahu kalah terus menggoda dan mempengaruhi fikiran saya, 'ahh, nanti orang mesti cakap-cakap. Bajet alimlah, konon baiklah. Ish, taknaklah..kau pun belum cukup baik. Belum masanya'. Tidak semudah itu saya rela dihenyak syaitan terkutuk. Saya lantas memakainya dihadapan cermin kaca meja solek. Hati membisik, 'Yang penting Allah redha. Nilaian Allah yang penting, bukannya manusia. Biarlah mereka nak cakap apa pun'. Alhamdulillah, segala kekuatan itu seakan-akan diutus terus dari Allah menyelinap masuk diri saya yang serba lemah ini. Ya saya mudah jatuh kerana manusia, tapi kerana Allah saya akan bangkit. 'Mungkin selepas ini aku akan lebih dekat dengan Allah asbab secebis kain ini', bisik saya di dalam hati.
Keesokannya, saya meminta kekuatan dari Allah untuk meminta izin untuk menutup wajah daripada kedua ibu bapa saya. Sebelum itu, saya amalkan banyak-banyak selawat dan berulang kali menyebut 'Ya latif Ya Latif Ya Latif' agar dilembutkan hati mereka lalu membenarkan saya mengenakan sehelai kain di wajah. Sungguh, hati itu Allah yang pegang. Dengan mudahnya saya mendapat keizinan daripada ibu bapa saya malahan bapa saya begitu menyokong. Katanya, "jadi perempuan arab lah sekarang". Hahaha😂. Ibu saya seperti biasa tidak kering dalam memberi nasihat dan taujihat, "Pakaian kita ni biarlah sejajar dengan akhlak kita". Alhamdulillah ! 😃 Biarpun terdapat sedikit tentangan daripada keluarga yang lain, tetapi lama kelamaan mereka sudah terima. Believe in Allah, so there is no impossible. Seminggu selepas bermulanya sem 2, saya memakainya. Betul-betul purdah tu satu sahaja yang saya bawa ,yang saya ada dahulu. Selepas sehari pakai, malamnya basuh pula dan begitulah sehariannya. Gigihnya nak pakai purdah. Saya tidak hirau orang mahu kata apa pada saya kerana saya tidak mahu mengemis sedikit pun perhatian manusia, akan tetapi perhatian Allah yang saya cuma dambakan. La hawla wa la quwata illa billah! Tiada daya dan upaya ku melainkan Allah. Alhamdulillah syukur, segala kekuatan dari Allah.
Mungkin ada tertanya-tanya, ada apa pada sehelai kain itu. Purdah ini bagi saya hanya inisitatif sahaja dalam penghijrahan saya. Bagi pendapat saya, selepas saya memakai purdah saya akan cepat rasa bersalah apabila membuat dosa atau perkara sia-sia. Misalnya, saya tidak lagi bergelak tawa dengan kuat sehingga hilang batas sebagai seorang muslimah oleh kerana malu sebagai seorang yang berpurdah berbuat sedemikian rupa. Saya akan lebih jaga adab untuk bercakap dengan lebih sopan bukannya cakap yang sia-sia. Jika saya terpandang wajah saya yang berpurdah di cermin, saya akan bertanya pada diri saya, 'pantaskah aku sebagai wanita berpurdah berbuat sekian-sekian'. Lantas saya akan tertunduk malu dengan diri sendiri. Saya mesti menjaga imej wanita berpurdah juga wanita muslimah untuk mencapai tahap wanita muttaqin. Begitulah cara yang saya lakukan iaitu dengan muhasabah dan terus muhasabah diri sendiri non-stop. Nampak? Hanya kerana secebis kain dimuka, sedikit sebanyak mengubah gerak geri perlakuan saya agar berakhlak sopan.
Berniqab atau berpurdah ni pakaian takwa. Belajar mengikut pakaian isteri-isteri nabi dan sahabiah. Hukum berniqab ni ada yang sunat, ada harus malahan ada yang sampai tahap wajib. Berbuat sesuatu perkara dengan ilmu, bukan hanya bertaklid (ikut-ikutan) sahaja. Kita tidak akan mendapat apa-apa melainkan yang sia-sia sahaja. Hukumnya berdasarkan banyak mazhab. Pendapat mazhab Syafi'e sendiri ada dua qaul (pendapat). Qaul pertama mengatakan, aurat wanita di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah seluruh tubuh. Sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah dihadapan lelaki ajnani. Inilah pendapat muktamad mazhab Syafi’e. Tegur saya andai silap. Mungkin ada yang lebih arif bab ini.
Kalau kita pakai, pakailah sbb nak ikut sunnah, bukan nak nampak indah, sebab fesyen atau unik. Tajdid selalu niat kita ni agar tidak tersasar ataupun melampau-lampau, Insha Allah. Janganlah pakaian sahaja nampak tertutup, tapi secara hakikatnya, terbuka pada mata yg memandang. Orang suka tanya, niqabis ni semua cantik sangat ke sampai nak tutup wajah? ☺ Jawapan saya begini, berniqab bukan bukti bahawa dia tu cantik. Cantik tu kan subjektif. Akan nampak cantik pada orang yang selayaknya. Cuma niat memakainya lebih kepada untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Itu yang utamanya.
Menurut saya, bila berniqab berpurdah kita akan rasa lebih aman sebab wajah kita terpelihara. Bila berniqab, hati kita jadi beringat. Memakai niqab ini pilihan yang mendekatkan diri saya kepada Allah. Jadi, apa sahaja kata kata orang, saya cuba hadam. Namun, secebis kain di wajah ini takkan saya tinggalkan melainkan ada keadaan yang terpaksa dibuka. Wahai niqab, bertahanlah denganku. 💕
Inilah kisah saya. Yang baik diteladani, yang buruk dijadikan pedoman hayat. Moga bermanfaat, moga Allah redha.
Saidatina Aisyah RA perna berpesan.
"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang."
Muliakanlah dirimu dengan taqwa, jagalah kehormatanmu dan perhiasilah keperibadianmu dengan cahaya rahmat melimpah ruah dari Allah swt.
💌Being ghuraba'